mutakhir

Tekong bot maut terkena tembakan

Oleh Omar Ahmad

SEORANG tekong bot warga Indonesia yang terbabit dalam penyeludupan keluar burung Murai Batu dan Murai Kampung maut terkena tembakan di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar, awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor Laksamana (M) Nurul Hizam Zakaria berkata, ketika kejadian, pihaknya yang melaksanakan Op Benteng Laut menahan dua bot fiber masing-masing pada jam 1.30 dan 2.15 pagi di kedudukan 2.0 dan 2.1 batu nautika utara Tanjung Kelesa.

Katanya, di bot pertama, Maritim Malaysia menahan dua lelaki warga tempatan manakala di bot kedua, ia dinaiki tiga lelaki warga Indonesia dengan kesemua tahanan berusia antara 40 hingga 62 tahun.

"Ketika bot pertama ditahan, pemeriksaan mendapati bot itu membawa muatan kira-kira 90 bakul yang berisi 949 burung Murai Batu dan Murai Kampung bernilai RM27,000 dan ia sedang menunggu sebuah lagi bot dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Sejurus bot kedua dari Indonesia tiba, anggota Maritim Malaysia bertindak melompat ke dalam bot itu untuk pemeriksaan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot itu memecut dan dikemudi secara berbahaya serta cuba melanggar bot ronda Maritim Malaysia.

"Dalam usaha memberhentikan bot itu, berlaku pergelutan dan tekong bot bertindak secara agresif dengan cuba merampas senjata api anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya insiden tembakan yang mengakibatkan dia terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di Pusat Kesihatan Tanjung Sedeli," katanya dalam sidang media di Pejabat Zon Maritin Tanjung Sedili, hari ini.

Nurul Hizam berkata, situasi yang kritikal dan mengancam keselamatan nyawa serta aset menuntut anggota penguat kuasa bertindak melepaskan tembakan amaran berdasarkan 'Rules of Engagement' penggunaan senjata api.

Katanya, laporan polis mengenai kematian tekong berkenaan sudah dibuat.

"Mangsa yang maut adalah tekong bot kedua berumur 40-an.

"Kedua-dua bot serta tahanan bersama rampasan kira-kira 90 bakul burung Murai dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan kira-kira RM290,000 termasuk sebuah bot dengan empat enjin 200 kuasa kuda, sebuah bot satu enjin 40 kuasa kuda dan kira-kira 90 bakul dengan muatan kira-kira 10 burung Murai setiap bakul.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 5:34pm
d