mutakhir

Selepas dilaporkan pupus, Damar Hitam Siput Daun Besar ditemui

Oleh BERNAMA

SPESIES pokok Damar Hitam Siput Daun Besar atau nama saintifiknya Shorea kuantanensis yang dilaporkan pupus pada 2010, berjaya ditemukan semula di Taman Eko-Rimba Lata Tembakah yang terletak di Hutan Simpan Pelagat, Hulu Besut di Jerteh.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Mohd Ridza Awang berkata, tiga batang pokok dari kumpulan kayu keras sederhana itu ditemukan semula pada Ogos 2014 oleh Mohd Nasir Mohd dan Salleh Endut yang ketika itu bertugas sebagai pegawai di jabatan itu.

"Pada asalnya spesies Shorea kuantanensis direkodkan hanya ditemui di Hutan Simpan Bukit Goh, Kuantan, Pahang pada 1936. Bagaimanapun spesies pokok itu dilaporkan pupus oleh 'Malaysia Plant Red List Peninsular Malaysia Dipterocarpaceae' pada 2010 akibat pertukaran status guna tanah kawasan Hutan Simpan Bukit Goh kepada ladang sawit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penemuan semula pokok Damar Hitam Siput Daun Besar di Taman Eko-Rimba Lata, Hutan Simpan Pelagat, hari ini.

Katanya, tiga batang pokok yang ditemui itu berukuran lilit antara 28 hingga 76 sentimeter dan berumur antara 28 hingga 76 tahun.

Katanya, susulan penemuan itu JPSM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies pokok berkenaan dengan menubuhkan petak Hutan Yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan Yang Tinggi (HCVF) di kawasan ia ditemukan iaitu di Hutan Simpan Pelagat.

"Penubuhan HCVF ini akan dapat memastikan Shorea kuantanensis dapat diuruskan dan dipulihara secara efektif bagi mengelakkan kepupusannya. Kawasan itu tidak akan dibenarkan sebarang aktiviti yang mengganggu tumbesaran pokok berkenaan seperti aktiviti pembalakan," katanya.

Selain itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk mengagihkan anak benih pokok Damar Hitam Siput Daun Besar bagi ditanam di kawasan bersesuaian sekitar Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga mengumpul lebih 2,000 stok anak benih pokok berkenaan untuk disemai di lokasi bersesuaian.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, pokok itu dijumpai ketika beliau dan rakannya Salleh sedang menyiapkan sebuah buku berkenaan tumbuh-tumbuhan untuk rujukan kakitangan JPSM.

Katanya, ketika itu beliau bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang manakala Salleh pula bertugas sebagai Renjer Hutan Tertinggi di Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

"Terdapat kira-kira 10 spesies damar hitam seperti Damar Hitam Gajah dan Damar Hitam Telepok, namun tidak banyak maklumat yang dapat diperoleh berkaitan Damar Hitam Siput Daun Besar. Kini walaupun sudah bersara, saya dan Salleh masih berusaha untuk mengumpul maklumat berkenaan spesies ini bagi rujukan generasi akan datang," katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 6:19pm
d