mutakhir

Maut ketika servis penghawa dingin hotel

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG lelaki warga Bangladesh maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja menyelenggara penghawa dingin di sebuah hotel dekat Alma, Bukit Mertajam, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2 petang berhubung insiden yang menimpa mangsa berusia 26 tahun itu.

"Siasatan mendapati mangsa ke hotel berkenaan untuk melakukan servis menyelenggara penghawa dingin.

"Bagaimanapun, ketika melakukan kerja-kerja itu dia terkena renjatan elektrik lalu tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, mangsa terus dibawa ke unit kecemasan Hospital Bukit Mertajam dengan bantuan anggota bomba.

"Apabila sampai di hospital, petugas perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 6:37pm
d