mutakhir

Tarik pelancong luar ke destinasi Zon Hijau

Oleh BERNAMA

DALAM usaha menggamit pelancong antarabangsa berikutan pandemik COVID-19 ketika ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan untuk memanfaatkan tarikan pelancongan khusus di destinasi zon hijau.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya akan mengkaji pelbagai tempat yang selamat terutama pulau-pulau yang berpotensi mempunyai destinasi zon hijau dengan aktiviti khusus seperti golf, menyelam dan pengembaraan berasaskan ekologi.

"Sebelum ini, kami bercadang membuka negara kita kepada negara hijau (negara-negara yang pulih daripada Covid-19) tetapi sesetengahnya mengalami gelombang kedua Covid-19.

"Dengan itu kami perlu kreatif dan mencari kaedah baharu dalam menghadapinya, kini tidak lagi fokus pada negara, tetapi lebih kepada kawasan khusus dan pulau-pulau.

"Kami sedang mengkaji perkara ini, dan menerusi kerjasama dan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MOTAC telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kertas konsep dalam minggu ini atau minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Meet in Malaysia @ Malaysia Business Events Week di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, katanya apa yang penting perlu mendapat persetujuan bersama antara negara-negara sekiranya Malaysia memutuskan untuk membenarkan pelawat berkunjung ke destinasi zon hijau.

Katanya, laluan hijau timbal balik dan peraturan ulang-alik berkala yang dilaksanakan dengan Singapura, misalnya boleh diperluaskan ke negara lain yang akan dikenal pasti, dengan syarat kedua-dua pihak bersetuju.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 8:24pm
    d