mutakhir

Rugi RM39,897 hanya kerana satu 'klik'

Oleh Nur Izzati Mohamad

HANYA kerana satu 'klik' menyebabkan seorang penuntut kolej swasta di Kepala Batas mengalami kerugian sebanyak RM39,897 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan cabutan bertuah.

Insiden bermula apabla wanita berusia 20 tahun itu membuat pembelian barang di laman sosial sebelum muncul satu paparan iklan mengandungi mesej kononnya dia memenangi cabutan bertuah bernilai RM8,888.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus klik pada iklan mesej berkenaan sebelum dia disambungkan kepada seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.

"Individu itu kemudian memberi satu format borang yang meminta mangsa mengisi semua maklumat peribadinya termasuk maklumat perbankan miliknya.

"Mangsa mengikut apa yang diminta sebelum dia menyerahkan nombor TAC kepada individu terbabit.

"Tidak lama kemudian mangsa berasa curiga dan apabila dia menyemak dengan pihak bank dan mendapati wang berjumlah RM39,897 dalam akaunnya lesap.

"Pihak bank turut memaklumkan mangsa berkemungkinan ditipu sindiket penipuan dalam talian dan diminta membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa terus membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun kerugian RM13,000 selepas dia ditipu sindiket pelaburan wang tidak wujud sejak bulan lalu.

"Mangsa ditawarkan pulangan wang sebanyak 30 peratus setiap bulan selama tempoh yang tidak pasti dengan hanya bermodalkan RM2,000.

"Kerana berminat dengan pulangan wang berganda itu, mangsa membuat pelaburan sebanyak RM13,000 hingga dia sedar dirinya ditipu semalam kerana sindiket memintanya membuat beberapa bayaran tambahan," katanya.

Menurut Noorzainy, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 12:41pm
d