mutakhir

Jangan tambah lalat di kampung kami

Oleh Adnan Ibrahim

KIRA-KIRA 9,000 penduduk di lapan kampung sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM), Simpang Renggam membantah cadangan pembinaan ladang ternakan ayam berhampiran Sungai Benut di Kampung Datuk Ibrahim Majid.

Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin berkata, ketika ini penduduk sudah cukup tertekan dengan gangguan lalat dari empat ladang ternakan ayam yang ada berdekatan kampung berkenaan.

Katanya, jika ditambah lagi dengan pembinaan ladang baharu ini, kehidupan penduduk semakin tertekan dengan gangguan lalat malah turut berhadapan masalah bau busuk.

"Dianggarkan kira-kira 100,000 ekor ayam diternak pada satu-satu masa di empat ladang sedia ada itu dan jika ditambah lagi dengan ladang baharu ini pasti jumlahnya akan berlipat kaki ganda," katanya ketika ditemui.

Menurut Sarlan, penduduk risau ancaman lalat dan bau busuk itu menjejaskan kesihatan mereka dan mengganggu keselesaan keluarga terutama bayi dan warga emas.

"Masalah pasti lebih teruk jika ada ladang baharu dibina terlalu hampir dengan kediaman penduduk," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Abdul Taib Abu Bakar berkata, terdapat kira-kira 20 ladang ternakan ayam di dalam kawasan pentadbirannya daripada 42 ladang keseluruhan di Simpang Renggam.

Katanya, hasil daripada tinjauan pihaknya, walaupun kebanyakan ladang mematuhi syarat pengendalian yang ditetapkan namun kehadiran lalat tetap tidak dapat dibendung.

"Saya secara dasarnya menyokong bantahan yang disuarakan oleh penduduk kampung kerana implikasinya akan berlaku secara berpanjangan khususnya membabitkan kesihatan dan keselesaan hidup orang ramai di sini," katanya.

#kw ladang, ayam, lalat, bau, Simpang Renggam

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 1:51pm
d