mutakhir

Akta Penagih Dadah dipinda kurangkan kesesakan dipenjara

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menempatkan penagih di pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, langkah yang akan dibuat dalam masa terdekat juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara yang turut menempatkan banduan penyalahgunaan dadah.

"...sekarang kami dalam peringkat kajian untuk kami perincikan (pindaan)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan penagih dadah tidak dipenjarakan sebaliknya ditempatkan di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) bagi tujuan pemulihan yang lebih berkesan.

Menjawab soalan asal Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) mengenai bahagian di Sarawak yang mempunyai tangkapan penyalahgunaan dadah tertinggi, Ismail berkata berdasarkan statistik suku pertama tahun ini, Kuching mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,499 orang.

"Berdasarkan maklumat terkumpul Polis Diraja Malaysia, AADK, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat pemulihan dadah persendirian, pada suku pertama 2020, Sarawak mencatatkan seramai 3,998 orang.

"Mengikut tangkapan tahunan, seramai 4,762 orang ditangkap pada 2018 dan 6,774 penagih ditahan tahun lalu," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 2:13pm
d