mutakhir

2 pemilik kilang kayu didenda

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PEMILIK kilang kayu didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen Besut di Jertih hari ini kerana memiliki hasil hutan secara tidak sah.

Hakim Wan Azimah Yaacob memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohd Zulkifli Mohd Husin, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Tertuduh turut bakal dihukum penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah turut mengarahkan semua balak yang disita, dilucut hak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zulkifli didakwa memiliki 86 tual kayu balak bulat pelbagai spesies yang tidak dibayar cukai bersama satu gergaji pembelah untuk memproses kayu itu di kilangnya di Kampung Batu 13, Tenang, Hulu Besut pada 9.30 pagi, 9 Mac lalu.

Tertuduh selaku pemilik kilang gagal mengemukakan pas pemindah yang menandakan kayu itu sudah dibayar cukai.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi pemilik kilang kayu, Zulkifli Ghazali, 38, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah memiliki 70 tual kayu jaras yang tidak dibayar cukai di kilangnya di Kampung Gong Bayor, Besut pada 11.50 pagi, 15 April 2019.

Dia berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Kedua-dua prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Afidatul Azwa Kamarulanuar.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 3:11pm
d