mutakhir

Pemilik Nasi Kandar Salleh sudah ke penjara

Oleh Nor Farhani Che Ad

PEMILIK kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kedah yang menjadi pencetus jangkitan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga sudah dipindahkan ke Penjara Pokok Sena, semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, lelaki berusia 57 tahun itu yang dijatuhi hukuman penjara lima bulan, sebelum ini ditahan dan dikawal di wad Hospital Alor Setar (HAS).

Katanya, tertuduh menjalani kuarantin dan dipantau kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah di HAS bagi memastikannya bebas Covid-19.

"Keputusan asal saya dimaklumkan dia akan ke Penjara Pokok Sena dan petang semalam dia sudah discaj (wad) dan terus dibawa ke penjara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, lelaki terbabit dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 selepas didapati bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian.

Bagaimanapun, hukuman penjara terhadapnya ketika itu tidak dapat dijalankan kerana dia masih dalam pemantauan hospital.

Tertuduh sebelum ini ditahan polis pada 23 Julai lalu kerana ingkar arahan kuarantin wajib 14 hari di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai.

Dia yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu di kedainya dan tindakannya menyebabkan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga terbentuk sekurang-kurangnya 45 individu positif Covid-19 di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 4:29pm
    d