mutakhir

PM rasmi Perpustakaan Parlimen

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merasmikan Perpustakaan Parlimen yang baharu selepas pusat sumber itu dipindahkan ke Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran yang siap dibina sepenuhnya pada Januari lalu.

Sebelum ini, perpustakaan yang dilengkapi kemudahan lebih selesa seperti bilik bacaan dan bilik karel ahli Parlimen itu bertempat di Blok Utama, kompleks Parlimen.

Pusat ilmu itu mempunyai 43,114 koleksi dokumen asal seperti Perundangan Negeri Selat dan Negeri- negeri Melayu Bersekutu; Penyata Rasmi Dewan Negara dan Dewan Rakyat; Aturan Urusan Mesyuarat; rang undang-undang; akta-akta; kertas statut; kertas perintah; laporan jawatankuasa-jawatankuasa; enakmen, ordinan dan warta kerajaan.

Selain itu, pusat sumber itu juga mempunyai koleksi monograf, koleksi jurnal dan koleksi keratan akhbar.

Perpustakaan Parlimen adalah pusat sumber rujukan penting dalam urusan perundangan, parlimen, pentadbiran kerajaan dan pentadbiran awam bagi menyokong keperluan penyelidikan ahli-ahli Parlimen dan warga Parlimen ke arah pembelajaran sepanjang hayat.

Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa melawat dan melancarkan pameran Parlimen: Citra Perundangan Malaysia yang mempamerkan ilustrasi bergambar mengenai Parlimen bagi memperkenalkan kepentingan dan kedaulatan institusi perundangan itu.

Pameran yang berlangsung mulai hari ini hingga 18 September itu dibahagikan kepada enam segmen iaitu Menelusuri Sejarah, Citra Perundangan, Koleksi Tinta Emas, Diplomasi dan Hubungan Luar Negara, Tuan Yang Dipertua, dan Ketua Majlis serta Menteri Parlimen.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 4:51pm
d