mutakhir

Helah bawa paip besi, sudu garfu gagal [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

MEMBUAT ikrar membawa paip besi serta sudu garfu, sebaliknya terdapat jutaan batang rokok dan minuman keras yang disembunyikan bagi mengelak perbuatan dihidu pihak berkuasa.

Itu modus operandi digunakan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Ogos lalu.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota Unit Siasatan Dalaman Zon Utara bersama Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang ke atas empat kontena di pelabuhan itu berdasarkan maklumat.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas empat kontena itu mendapati dua daripadanya membawa rokok, manakala dua lagi membawa minuman keras.

"Pemeriksaan lanjut menemui 124,944 tin minuman keras dan 20.350 juta batang rokok yang kesemuanya bernilai RM1,868,796.80.

"Dua barang dagangan itu dibawa masuk dari China yang diikrar sebagai paip besi dalam 'Bill of Lading' dan 'Manifest Import' (K4)," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang di Butterworth, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati keempat-empat kontena terbabit dikendalikan dua syarikat perkapalan berbeza yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

"Bagaimanapun, keempat-empat kontena itu diimport oleh sebuah syarikat berstatus sendirian berhad yang sama di Selangor.

"JKDM turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun yang tampil ketika pemeriksaan dibuat," katanya.

Menurutnya, jumlah cukai bagi dua barang dagangan berkenaan dianggarkan RM14,620,856.60.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 6:13pm
d