mutakhir

Pihak atasan KKM tidak dimaklum Khairuddin ingkar kuarantin [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim; Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin

PIHAK atasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dimaklumkan mengenai kes pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebaik beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media yang disiarkan minggu lalu.

"Saya dan juga timbalan pengarah yang lain tidak dimaklumkan oleh petugas di lapangan mengenai perkara ini dan hanya mengetahuinya daripada laporan media minggu lalu.

"Bagaimanapun, kami sudah mengarahkan siasatan dalaman dilakukan berhubung perkara itu dan saya sudah menerima laporan penuh siasatan terbabit," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, laporan siasatan itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Saya difahamkan pihak polis sedang melakukan siasatan berhubung perkara itu dan kami serahkan kepada mereka (polis) untuk tindakan lanjut.

"Ini kerana pihak polis adalah sebahagian daripada agensi penguat kuasa yang boleh mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

"Jadi, saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara ini memandangkan ia (kes) sudah diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan KKM mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Di bawah Akta 342, kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warga negara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertikaikan mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Mohd Khairuddin ketika persidangan Dewan Rakyat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid pula dilaporkan berkata, sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 6:27pm
    d