mutakhir

Kanak-kanak maut, motosikal langgar lori sebab asap jerami [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

ANGKARA asap tebal daripada pembakaran jerami padi, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut apabila motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarga termasuk ibu, adik dan bapa saudara merempuh belakang lori di Kampung Parit Haji Taib 2, di Bagan Serai, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, Auni Marissa Norman maut di lokasi kejadian manakala ibu dan bapa saudaranya, Siti Fauziah Abdul Kairi, 34 dan Mohamad Hafiz Mohd Adli, 21, parah.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari jalan kampung itu menuju ke Jalan Ipoh-Butterworth.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 27 tahun, menghentikan kenderaannya di lokasi berikutan terdapat satu lagi lori di hadapannya.

"Motosikal dipandu bapa saudara mangsa dikatakan hilang kawalan akibat asap tebal pembakaran jerami padi di tepi jalan itu lalu merempuh belakang lori berkenaan.

"Akibat pelanggaran, mangsa yang berada bahagian hadapan motosikal maut manakala ibu dan bapa saudara yang juga penunggang motosikal jenis Yamaha LC 135, parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Taiping," katanya dihubungi, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Faiz Akmal Norman, 1, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat. Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 9:35pm
d