mutakhir

14 individu tinggal sehelai sepinggang

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LIMA rumah hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Siam di Kuala Krai, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.40 petang itu, tiga keluarga membabitkan 14 individu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka hangus terbakar termasuk dua motosikal.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Seorang daripada mangsa, Rosmah Abdullah, 51, berkata, ketika kejadian, dia berada di Perak atas urusan keluarga namun selepas mendapat panggilan daripada anak ketiganya, Bazli Aiqal Talib, 24, yang tinggal berdekatan rumahnya dia bergegas pulang.

"Sebaik menerima panggilan, saya segera meminta anak-anak yang lain mencari abang dan adik mereka. Saya khuatir mereka mungkin berada di dalam rumah atau sedang tidur dan tidak menyedari apa yang berlaku.

"Bagaimanapun naluri keibuan saya sangat kuat mengatakan kedua-dua beradik itu selamat. Salah seorang daripada anak menghubungi saya dan memaklumkan abang dan adik bongsu mereka, Bazli Azim, 30, dan Bazli Atif, 19, tidak berada di rumah ketika kejadian," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Penguasa Kanan Bomba Mohd Fairus Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.42 petang dan tiba di lokasi dua minit kemudian.

"Seramai 23 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, didapati lima buah rumah dan dua daripadanya tidak berpenghuni sudah terbakar 100 peratus.

"Ketika kejadian tidak ada mangsa yang terperangkap dan dengan tindakan pantas anggota dapat menyelamatkan empat rumah lain. Operasi tamat sepenuhnya pada 5.05 petang.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM175,000," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2020 @ 9:50pm
d