mutakhir

Permohonan 33 Adun Sabah didengar 7 September di Mahkamah Rayuan

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan hari ini menetapkan 7 September ini untuk mendengar permohonan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang Dipertua Negeri Sabah pada 30 Julai lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Yaacob Md Sam menetapkan hari yang sama untuk mendengar rayuan 33 Adun yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 21 Ogos itu.

Panel yang turut disertai Hakim Datuk P Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara (AGC) hanya menerima notis bagi usul penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi itu pada hari Jumaat lalu dan mereka memerlukan masa bagi membalasnya.

"Kami menetapkan 7 September untuk mendengar permohonan bagi penangguhan, dan juga hari yang sama untuk mendengar rayuan bagi membenarkan pihak yang terbabit mengemas kini afidavit," kata Yaacob.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan 33 Adun untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Shim menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan DUN.

Menurutnya pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut perlembagaan dan sah.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 2:37pm
d