mutakhir

Jamin siasatan adil

Oleh Audrey Dermawan

GEORGETOWN: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan bahawa siasatan adil dibuat berhubung kes anggota polis menendang penunggang motosikal hingga jatuh di Sibu, Sarawak.

Kejadian itu yang dirakam orang awam hingga tular di media sosial berlaku ketika Op Motosikal di Jalan Temple, semalam.

Abdul Hamid berkata, beliau sendiri akan menyiasat kes itu dan memastikan keadilan kepada semua terbabit.

"Daripada petikan video berkenaan, boleh dilihat reaksi anggota polis terbabit bukan dirancang. Ia reaksi yang apabila kita melihat ada penunggang motosikal tiba-tiba mahu buat pusingan U, anggota menendang motosikalnya (untuk memberhentikannya) dan penunggang itu jatuh.

"Saya faham keprihatinan masyarakat berhubung kejadian ini, ada yang menganggap polis menggunakan kekerasan berlebihan. Saya ambil maklum itu dan perlu ambil kira juga nasib anggota yang berdepan cabaran ketika mereka bertugas.

"Jadi dalam hal ini, siasatan menyeluruh dibuat dan saya akan memastikan keadilan buat semua," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SeMalaysia di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pegawai dan anggotanya diingatkan supaya bersabar ketika bertugas dan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Namun katanya, tidak menolak kemungkinan ada tindakan yang diambil berdasarkan situasi dan berharap masyarakat memahaminya serta tidak cepat membuat tanggapan buruk.

Sejak semalam, video tular mengenai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menendang motosikal seorang penunggang yang membuat pusingan U.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dilapor berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas anggota terbabit sekiranya dia didapati bersalah atas perbuatan itu.

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 3:42pm
d