mutakhir

Panggil saksi lengkapkan siasatan kes Mohd Khairuddin

Oleh Nur Izzati Mohamad

BEBERAPA saksi akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar arahan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, 7 Julai lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan itu akan disiapkan secepat mungkin, malah Mohd Khairuddin juga sudah memberi keterangan di Bukit Aman.

"Siasatan kes sudah bermula dan pegawai penyiasat akan memanggil saksi yang untuk diambil keterangan. Kita tidak tahu berapa lama proses siasatan berlangsung tetapi ia akan disiapkan secepat mungkin.

"Dalam kes ini saya tidak mahu memberi tekanan kepada pegawai yang melakukan siasatan dan biarlah mereka melakukan tugas ini dengan penuh profesional," katanya ketika ditemui pada Perasmian Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik SeMalaysia di Georgetown, hari ini.

Mohd Khairuddin sebelum ini mengaku melanggar perintah wajib dan meminta maaf, malah sudah dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau juga memulangkan gajinya sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) bawah Kementerian Kesihatan.

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 4:59pm
d