mutakhir

Ternak ayam atau biak lalat?

Oleh Adnan Ibrahim

JABATAN Pertanian dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar Negeri Johor akan bekerjasama untuk mengenal pasti punca pembiakan lalat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, khususnya di Kampung Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Datuk Samsol Bari Jamali berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan bantahan penduduk terhadap pembinaan ladang ternakan ayam yang baharu di kampung berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Abdul Taib Abu Bakar.

Katanya, perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk siasatan terperinci.

"Mereka juga diarahkan untuk membuat lawatan terhadap semua pengusaha ladang ternakan ayam di kawasan berkenaan untuk mengenal pasti punca pembiakan lalat.

"Saya ambil berat masalah dihadapi penduduk kampung dan sedang berusaha untuk mengatasinya," katanya.

Samsol Bari berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Harian Metro berikutan bantahan penduduk di Kampung Datuk Ibrahim Majid berkaitan pembinaan ladang ternakan ayam serta masalah lalat di kampung berkenaan hari ini.

Dalam pada itu, Samsol Bari berharap semua pengusaha ladang ternakan ayam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di premis masing-masing pada setiap masa supaya masyarakat setempat tidak terkesan dengan masalah dilaporkan.

Harian Metro hari ini melaporkan, kira-kira 9,000 penduduk di lapan kampung sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid membantah cadangan pembinaan ladang ternakan ayam yang baharu berhampiran kampung berkenaan.

Bantahan itu dilakukan berikutan masalah gangguan lalat dan pencemaran bau busuk kepada penduduk dipercayai berpunca daripada empat ladang ternakan ayam sedia ada di kampung berkenaan.

Berita berkaitan

  • Jangan tambah lalat di kampung kami
  • Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 5:23pm
    d