mutakhir

Murid, guru PASTI selamat bangunan sekolah terbakar [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SERAMAI 38 murid dan empat guru wanita Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurul Hannani di Jalan Tengku Osman, Tawau, sempat menyelamatkan diri apabila bangunan sekolah mereka terbakar jam 2 petang tadi.

Kesemua murid berkenaan berjaya dibawa keluar oleh guru berkenaan yang ketika itu baru memulakan sesi pembelajaran (sesi petang).

Murid berkenaan membabitkan 18 lelaki dan 20 perempuan berumur lima tahun hingga enam tahun.

Guru Pasti, Sumaiyah Cambo, 50-an, berkata, pada mulanya dia terhidu bau asap sebelum melihat percikan api daripada sebuah kelas di tingkat atas bangunan papan yang menempatkan empat kelas itu.

"Sebaik melihat api merebak, saya meminta tiga rakan setugas segera membawa keluar murid di kelas masing-masing ke tempat selamat.

"Syukur Alhamdulillah, kami semua sempat keluar dengan selamat walaupun banyak buku teks serta alat bantu mengajar gagal diselamatkan," katanya ditemui.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, 15 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kebakaran jam 2.06 petang.

"Bangunan itu terbakar kira-kira 90 peratus. Api dapat dikawal setengah jam kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 4.30 petang.

"Punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 6:17pm
d