mutakhir

Pasar nelayan ditutup sementara waktu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BOMBA melakukan sanitasi awam di kawasan Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota Kuala Kedah, Alor Setar, selepas ia ditutup bermula hari ini untuk kerja pembersihan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sanitasi awam itu turut disertai pasukan pemantau lima anggota polis dan dua pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, operasi pembersihan di kawasan itu dilakukan bermula 3.35 petang hingga 5 petang hari ini.

"Sanitasi itu dilakukan berikutan maklumat diterima ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 mengunjungi pasar nelayan itu hari ini.

"Kita menggunakan bahan kimia sodium hypoclorite yang dibancuh di luar dan dalam bangunan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi dilakukan membabitkan empat anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor mengesahkan pasar nelayan itu ditutup sementara waktu bermula hari ini sehingga satu tarikh diberitahu kelak.

Beliau memaklumkan, notis penutupan pasar nelayan itu sudah dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Sehubungan itu, orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi kawasan itu buat sementara waktu manakala segala aktiviti perniagaan ditutup.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 9:41pm
    d