mutakhir

Hanya kerana telefon bimbit...

Oleh Ruwaida Md Zain

LIMA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah taman permainan di Seksyen 16, Shah Alam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia susulan laporan polis daripada seorang lelaki berusia 23 tahun iaitu anak saudara si mati.

Beliau berkata, lima suspek berusia antara 14 tahun hingga 37 tahun ditahan pada 7.50 pagi.

"Kesemua tangkapan direman selama hari sehingga 31 Ogos ini untuk siasatan lanjut

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan anak saudara si mati, pergaduhan itu berpunca daripada salah faham mengenai telefon bimbit.

Menurutnya, ketika berada di rumah pada malam Isnin, lelaki itu menerima panggilan telefon bimbit daripada adik menyatakan telefonnya diambil secara paksa oleh rakan dikenali sebagai Kak Long.

Katanya, Kak Long dipercayai berbuat demikian kerana alasan si adik mempunyai berhutang dengannya.

Beliau berkata, lelaki itu dan bapa saudaranya kemudian pergi ke sebuah taman permainan bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Katanya, pertemuan itu juga disertai oleh ahli keluarga Kak Long.

"Ketika menunggu Kak Long, berlaku pertengkaran antara bapa saudara lelaki itu dengan adik Kak Long sebelum mereka bergelut.

"Semasa pergelutan, tiba-tiba salah seorang yang berada di situ iaitu pak cik kepada Kak Long memukul belakang badan bapa saudaranya dengan kayu," katanya.

Baharudin berkata, susulan itu, mangsa sesak nafas dan meminta anak saudaranya itu pulang ke rumah untuk mengambil ubat sakit jantung.

Bagaimanapun, sekembalinya lelaki itu di taman permainan, dia dimaklumkan bapa saudaranya sudah dibawa Hospital Shah Alam.

"Lelaki itu kemudian ke hospital sebelum diberitahu bapa saudaranya sudah meninggal dunia. Susulan kejadian, lelaki itu membuat laporan polis," katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 11:16am
d