mutakhir

Covid-19: Tempat tumpuan awam Sungai Petani ditutup

Oleh Noorazura Abdul Rahman

MAJLIS Perbandaran Sungai Petani (MPSP) menutup tempat menjadi tumpuan awam selama dua hari bermula esok, dalam usaha mengawal pandemik Covid-19 di daerah itu.

Yang Dipertua MPSP, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, kawasan terbabit adalah Pantai Merdeka, Tanjung Dawai, Dataran Tsunami, Dataran Zero dan kawasan rekreasi Tupah.

"Kita akan menutup sepenuhnya tempat berkenaan kepada pengunjung mulai 28 Ogos sehingga 31 Ogos disebabkan penularan wabak Covid-19.

"Perintah Kawalan ini dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967," katanya dalam kenyataan di Sungai Petani, hari ini.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan 4,051 individu disaring di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi mengesan rantaian penularan jangkitan Covid-19 berpunca daripada Kluster Tawar.

Daripada jumlah itu, 3,514 individu disaring di Kedah.

Sebanyak 62 kes dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Tawar di negeri ini iaitu 26 daripadanya adalah kes positif di Kuala Muda, 20 kes di Baling, 15 kes di Kulim manakala satu kes di Sik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 12:16pm
    d