mutakhir

Khairuddin ke Bukit Aman petang ini

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SELEPAS dua kali ditangguh untuk diambil keterangan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sekali lagi dijangka akan ke Bukit Aman, petang ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu pada awalnya dilaporkan dipanggil ke Bukit Aman, petang semalam untuk memberi keterangan berhubung kes melanggar kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu sebelum lokasi ditukar ke Parlimen.

Proses berkenaan yang sepatutnya berlangsung petang semalam di Parlimen, kemudian ditangguhkan pula ke hari ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi memaklumkan Khairuddin akan hadir ke Bukit Aman, petang ini.

"Keterangan beliau belum diambil semalam, beliau akan datang ke Bukit Aman petang ini, selepas Asar," kata beliau.

Terdahulu, media melaporkan polis mahu merakam keterangan Mohd Khairuddin bagi membantu siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

Ahad lalu, media melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah susulan 27 laporan polis yang diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan menyerahkan kertas siasatan dalaman pihaknya berhubung isu pelanggaran kuarantin oleh Mohd Khairuddin kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairuddin turut dikompaun oleh kementerian sebanyak RM1,000 atas kesalahan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 1:15pm
    d