mutakhir

Hakim benar pinda notis usul lucut hak harta Najib

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk meminda notis usul bagi melucut hak harta yang dirampas daripada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya serta 16 yang lain.

Harta yang dirampas daripada 18 pihak itu antaranya terdiri daripada ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan dan 27 kereta serta beberapa hartanah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Pendakwa Raya meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan yang diikrarkan bagi menyokong permohonan melucut hak harta berkenaan.

Mohamed Zaini membuat keputusan berkenaan selepas semua responden tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika ditemui media berkata, pihaknya perlu memfailkan pindaan terhadap notis usul dan afidavit sokongan selewat-lewatnya pada 3 September ini.

Katanya, mahkamah turut menetapkan pada 4 September ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perintah mewartakan notis kepada pihak ketiga yang baharu.

Pendakwa Raya memohon untuk melakukan pindaan itu berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, jenis akaun, nama dan cawangan bank serta tarikh sitaan pada notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Datin Seri Rosmah Mansor; anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz; dan anak pasangan itu, Nor Ashman Razak dan Nooryana Najwa sebagai responden pertama hingga kelima.

Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia; Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd; ibu kepada Jho Low, Goh Gaik Ewe; bekas pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa; isterinya, Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Antara barangan disita ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama serta wang RM537,000 dan semuanya disita pada 17 Mei 2018 oleh polis.

Harta lain ialah 27 Nissan Urvan yang disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 2:08pm
d