mutakhir

KPDNHEP rampas baja pertanian subsidi diseleweng [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBUAH gudang yang menyimpan 212,040 kilogram (kg) pelbagai jenis baja pertanian diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, 18 Ogos lalu.

Kesemua guni baja bersubsidi itu disimpan dalam gudang berkenaan yang terletak di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar dan diserbu 4.35 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat seorang lelaki berusia 40-an berada di gudang berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan untuk diambil rakaman percakapan bagi siasatan lanjut.

"Hasil maklumat dipercayai beroperasi lebih kurang 20 tahun dalam bidang urus niaga jual beli baja.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, baja yang mempunyai berat antara 20kg, 25kg dan 50kg itu kemudian akan dibungkus semula dalam satu bungkusan dengan kuantiti 50kg tetapi dijual melebihi harga subsidi," katanya pada sidang media di stor KPDNHEP, Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mohd Shahran berkata, pihaknya percaya baja yang dibungkus semula itu dipercayai dijual pada pihak tertentu dengan harga RM100 untuk 50kg.

Beliau berkata, mereka mampu mengaut keuntungan antara RM40 hingga RM50 untuk satu kampit baja yang dibungkus semula itu.

"Satu kampit baja bersubsidi biasanya dijual kurang dari RM30 bergantung pada beratnya.

"Berikutan itu kesemua baja itu dirampas dan nilainya mencecah RM287,874," katanya.

Mohd Shahran berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang sama iaitu berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 3:53pm
d