mutakhir

Festival ketengah budaya, seni dan warisan Terengganu

Oleh Zaid Salim

FESTIVAL Kebudayaan Terengganu yang diadakan selama 11 hari bermula hari ini menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan dan mengetengahkan kebudayaan, kesenian serta warisan tradisional Terengganu kepada dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, festival itu memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menilai khazanah kesenian serta kebudayaan tradisional negeri supaya tidak ditelan zaman.

"Festival ini dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti seni bina, masakan, tarian tradisional dan sebagainya.

"Kita menjangkakan festival ini menarik ramai pengunjung khususnya pelancong luar untuk ke negeri ini," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Primula Beach Hotel Kuala Terengganu (PBHKT), Suaibah Harun.

Katanya, program itu antara aktiviti ke arah menjadikan Terengganu sebagai negeri pelancongan utama dalam negara.

Menurutnya, festival itu juga akan mengisi kalendar pelancongan Terengganu dan akan dijadikan sebagai acara tahunan.

"Selain itu, beberapa lagi aktiviti lain termasuk Kampung Budaya Terengganu juga akan diadakan dan dirasmi pada 3 September depan.

Ariffin berkata, enam hotel dan pusat penginapan serta beberapa lokasi pelancongan terpilih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dijadikan sebagai lokasi festival.

Ia termasuk Duyong Marina & Resort, Hotel Permai, Hotel Primula Warisan Sari, Paya Bunga Square & Hotel dan Terradala.

Sementara itu Suaibah berkata, beliau gembira apabila PBHKT dipilih sebagai lokasi penganjuran festival berkenaan.

"Menerusi festival itu, ia dapat menarik lebih ramai pelancong untuk menginap di hotel ini," katanya.

Selain persembahan Festival Kebudayaan, pihaknya turut mengadakan beberapa aktiviti dan program khusus untuk pengunjung sepanjang tempoh festival dan sempena bulan kemerdekaan negara.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 8:35pm
d