mutakhir

Ubah gaya hidup, elak pinjam along

Oleh Omar Ahmad

ORANG ramai boleh mengelakkan daripada meminjam dengan ceti haram atau along dengan mengubah gaya hidup dan bersikap sederhana.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, masyarakat terutama peminjam along perlu berfikir banyak kali sebelum membuat pinjaman kepada lintah darat itu.

"Kebanyakan mereka meminjam atas sebab tidak penting seperti membesarkan ruang rumah, berpindah rumah dan sebagainya.

"Cuba berbincang serta berterus terang dengan ahli keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meminjam along.

"Berdasarkan sebahagian besar kes aduan yang kami terima, ahli keluarga tidak tahu peminjam mempunyai masalah kewangan," katanya mengulas laporan muka depan akhbar Harian Metro, hari ini.

Michael Tay berkata, kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan(NGO) perlu berperanan membantu dengan mencari atau memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

Katanya, langkah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat membantu masyarakat dapat mengukuhkan ekonomi, sekali gus mengurangkan kes meminjam along.

"Ramai meminjam wang daripada along kerana pinjaman senang diperoleh, tetapi kesannya sangat buruk.

"Along bersifat baik ketika mahu memberikan pinjaman, tetapi akan hilang pertimbangan apabila hutang dan bunga mereka yang tinggi tidak dibayar.

"Along akan berusaha mencari waris peminjam bagi tujuan menakutkan peminjam sekiranya hutang tidak dibayar," katanya.

Beliau berkata, pada bulan lalu, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki mendakwa keretanya dibakar along kerana adik perempuannya meminjam RM30,000 daripada kumpulan berkenaan.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 9:48pm
d