mutakhir

Mohd Khairuddin beri keterangan di Bukit Aman

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, malam ini berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, Mohd Khairuddin tiba di Bukit Aman pada 8 malam.

"Sesi mengambil keterangan di bangunan Parlimen semalam tidak dibuat, sebaliknya polis mengambil keterangan beliau, hari ini.

"Difahamkan beliau tiba di Bukit Aman pada 8 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dipercayai masuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggunakan kenderaan lain bagi mengelak ditemu bual pengamal media yang menunggu kehadiran beliau.

Lebih 20 wartawan berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 3 petang hari ini selepas beberapa media melaporkan Mohd Khairuddin akan hadir memberi keterangan, hari ini.

Sehingga 10 malam, beliau dipercayai masih memberi keterangan di Bukit Aman.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, isu mengenai Mohd Khairuddin diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Mohd Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilaporkan mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas menerima 27 laporan polis berhubung kegagalan beliau mematuhi kuarantin wajib.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 10:50pm
    d