mutakhir

Tak serik-serik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WALAUPUN sudah berkali-kali ditahan polis, seorang lelaki berusia 43 tahun tidak pernah serik atau takut dengan hukuman dengan terus menjalankan kegiatan menjual dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, lelaki yang berasal dari Kampung Padang Durian, Padang Serai, Kulim itu ditahan dalam Op Tapis di Kampung Keda Nagalilit, Padang Serai, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di tepi jalan pada 4.20 petang selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz dadah heroin anggaran berat 56.50 gram yang mana harga pasaran bernilai RM2,800.

"Berikutan itu suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, hasil pemeriksaan mendapati, suspek disyaki terbabit dengan dadah bermula sejak tahun 2013 sehingga sekarang.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek mempunyai rekod lampau pernah ditahan polis mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1953.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis heroin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 8:16am
d