mutakhir

'Tak habis-habis kena scam'

Oleh Nahar Latib

PESARA wanita di Kuantan menanggung kerugian RM236,994 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 23 Julai lalu apabila mangsa berusia 66 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa terdapat barang pos mempunyai kad pengenalan serta beberapa keping kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa.

"Mangsa menafikan perkara itu sebelum diminta membuat laporan polis. Panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong.

"Suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram, namun wanita itu menafikan perkara itu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek sebelum mangsa meletakkan sampul surat yang mengandungi kad ATM, buku Tabung Haji dan buku ASB miliknya di sebuah pondok telefon berdekatan Masjid Beserah di Kuantan, pada 3 Ogos lalu.

"Suspek memberitahu ia bertujuan untuk siasatan dan membersihkan nama mangsa daripada salah laku jenayah. Mangsa yang tidak mensyaki apa-apa mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek," katanya.

Katanya, pada 27 Ogos lalu, mangsa membuat semakan di Bank Islam mendapati wang di dalam akaunnya berjumlah RM236,994.90 dipindahkan ke dalam akaun individu yang tidak diketahui bermula 2 hingga 10 Ogos lalu.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 9:29am
d