mutakhir

Maut langgar kucing

Oleh Safuri Kamarudin

PEMBANTU kedai makan maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar kucing melintas jalan di Jalan Sultan Abdul Halim berdekatan Pejabat Daerah Baling, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 malam, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa Mohamad Azam Wahab, 27, dari Kampung Lorong Selamat Guar Chempedak, Gurun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Pekan Baling menghala ke bulatan Sultan Abdul Halim Baling.

"Apabila sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai terlanggar kucing melintas jalan lalu hilang kawalan dan terbabas melanggar pasu bunga di atas batu pembahagi jalan di tengah laluan.

"Mangsa terjatuh di atas jalan dan meninggal di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 10:41am
d