mutakhir

Jual motosikal RM85,000, tak salah di sisi Islam - Timbalan Mufti

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"TIDAK salah jual sesuatu barangan itu dengan harga berlipat kali ganda tinggi daripada harga asal, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju," kata Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Harian Metro mengenai penjualan motosikal Yamaha 125zr Go! dengan harga RM85,000, nilainya berlipat kali ganda daripada harga sebenarnya RM6,617.76.

Yamaha 125zr Go! keluaran khas model Valentino Rossi pada 2003 itu dijual tunai oleh Mohamad Azehar Mat Siam, 29, kepada seorang peminat model berkenaan dari Vietnam dan menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Ahadi berkata, penjualan barangan yang bukan berbentuk barangan keperluan asasi seperti makanan tidak salah sekiranya dijual dengan harga yang tinggi kerana ia adalah pilihan pembeli.

"Jika pembeli sanggup membayarnya tiada masalah dan paling penting tiada paksaan dalam proses jual beli yang dijalankan kerana perbuatan memaksa pembeli membeli barangan dengan harga yang tinggi adalah batil dan tidak sah di sisi Islam.

"Cuma jika barangan berbentuk makanan asasi seperti nasi yang menjadi keperluan manusia mesti dijual pada harga pasaran dan tidak boleh dijual terlalu mahal sehingga menzalimi pengguna.

"Barangan lain yang dirasakan mempunyai 'nilai sentimental' tersendiri diharuskan untuk dijual pada harga yang dirasakan relevan oleh pemiliknya dan ia tidak menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata, jualan barangan bukan keperluan itu bergantung kepada kesanggupan pembeli atau pengguna ketika berurus niaga.

"Sesetengah orang yang mempunyai wang, dia tidak mempunyai masalah untuk membeli barangan yang diminati biarpun dengan harga yang mahal.

"Minat dan hobi setiap orang berbeza, sebelum ini pernah heboh duit syiling lama yang bernilai beberapa sen dijual dengan harga ribuan ringgit, tiada masalah berjual beli dengan harga tinggi asalkan dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Berita berkaitan

Yamaha 125zr edisi Valentino Rossi berharga RM85,000

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 3:01pm
d