mutakhir

23 penyewa hilang tempat tinggal

Oleh Mohd Roji Kawi

SERAMAI 23 penghuni sebuah rumah dua tingkat di Selangau, hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.53 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan sebagai rumah sewa yang menempatkan 11 bilik sedang hangus.

"Api marak dengan cepat namun dapat dikawal pada jam 12.04 tengah hari," katanya.

Beliau berkata, rumah jenis separuh kekal itu didiami penyewa yang terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 10 wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian itu," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 4:17pm
d