mutakhir

Ibu 'buang' anak, tidak tahan ugutan along

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

AKIBAT tidak tahan diganggu puluhan ceti haram atau dikenali sebagai along, seorang ibu sanggup 'membuang' anak sulungnya yang mengakibatkan kehidupan keluarga mereka dibelenggu ketakutan.

Lelaki hanya mahu dikenali Tan, 36, berkata, dia dan ibunya berusia 59 tahun dihubungi puluhan along, sejak Mei lalu, yang memaklumkan abangnya, Tan Wei Lun, 38, ada meminjam sejumlah wang.

"Dia (Wei Lun) yang juga seorang penganggur kerap meminjam wang dengan along untuk digunakan bagi permainan judi dalam talian.

"Bagi tempoh Mei hingga Jun lalu, kami sudah membayar hutangnya berjumlah RM200,000, namun dia masih dengan tabiatnya meminjam wang hingga kami sekeluarga kerap diganggu along.

"Bukan sahaja ugutan mesej serta panggilan telefon diterima, malah ada along bertindak melampau dengan memuat naik gambar saya berserta nama syarikat tempat saya bekerja di Facebook dengan memfitnah saya sebagai 'kaki kelentong'," katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.

Tan berkata, along juga bertindak memuat naik gambar muka Wei Lun bersama aksi seks yang direka pihak terbabit di media sosial bagi mengugut mereka supaya membayar hutang berkenaan.

"Walaupun saya sudah memaklumkan kepada along bahawa dia (Wei Lun) sudah keluar rumah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan menghilangkan diri sejak tiga minggu lalu, namun mereka masih mengugut dan meminta kami membayar hutang berkenaan.

"Semua wang simpanan keluarga kami juga sudah habis untuk menyelesaikan hutang itu. Apa yang dilakukannya (pinjam wang) menyebabkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan dan kini kami tidak lagi menganggapnya sebagai ahli keluarga.

"Justeru, saya minta kepada semua along yang ada meminjam wang kepadanya supaya tidak mengganggu kami lagi memandangkan dia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kami," katanya yang sudah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Michael berkata, sebanyak 206 aduan diterima pihaknya berkaitan Along membabitkan pinjaman berjumlah RM16 juta bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

"Melihat kepada insiden baharu ini, ada sebahagian along bertindak melampau dengan melakukan ugutan kepada ahli keluarga peminjam dengan mencalarkan kredibiliti mereka di media sosial.

"Justeru, nasihat saya kepada orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan ceti haram kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri tetapi juga ahli keluarga," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 7:03pm
d