mutakhir

Sumbang RM10,000 untuk tabung kebajikan bomba

Oleh Ruwaida Md Zain

KERAJAAN negeri Selangor menyumbangkan RM10,000 kepada Tabung Kebajikan Anggota Bomba bagi membantu keluarga dan anggota bomba memerlukan bantuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan kerajaan negeri di atas usaha murni pegawai bomba, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa menjayakan Program Kayuhan Amal Berbasikal Secara Solo ke 63 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Hanya berbaki 60 kilometer lagi untuk beliau sampai ke destinasi iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Putrajaya.

"Saya lihat tujuan kayuhan ke 63 balai ini untuk kebaikan dan saya berikan sokongan di samping menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada badan kebajikan dan hasil usaha beliau untuk kebajikan bomba serta keluarga mereka.

"Ia sebahagian usaha kita untuk meraikan kemerdekaan negara kita yang simbolik dengan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sumbangan dan menyambut kedatangan Mohd Fakhrul Munir di Ibu Pejabat JBPM Selangor di Shah Alam, hari ini.

Kayuhan solo Mohd Fakhrul Munir ke 63 BBP dengan slogan 'Mencari Hati Emas' itu dianjurkan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah bagi mengutip dana membantu keluarga dan anggota bomba.

Program itu diadakan bersempena menyambut bulan kemerdekaan tahun ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Md Ali Ismail.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri bekerjasama sebaik mungkin dengan bomba membabitkan pelbagai isu berkaitan bomba terutama keperluan penambahan balai bomba di Selangor.

"Dalam taklimat dengan pasukan bomba sebelum ini, saya memaklumkan kita sedang usahakan tapak dan kawasan balai dan mengurangkan tekanan kepada satu-satu balai kerana pertumbuhan lokaliti agak besar di Selangor.

"Justeru kita tumpu hal berkenaan sebab urusan naik taraf balai terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Jadi bidang kuasa kerajaan negeri memastikan tapak sesuai, lokaliti sesuai dan memberikan kos sebaiknya kepada urusan tanah mereka. Lokasi balai, pihak bomba yang akan tetapkan yang mana lokasi sesuai. Ada sebahagian sudah diluluskan dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 10:03pm
d