mutakhir

PRK Slim: Teruja jadi pengundi pertama [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

"ALHAMDULILLAH saya sudah selesai mengundi dan sekarang mahu pergi kenduri di Johor pula," kata pengundi pertama, Sharudin Hussin, 75.

Sharudin dari Kampung Batu 4, Trolak menjadi individu pertama membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Trolak, Trolak Pekan dekat Slim River.

Shahrudin berkata, dia sanggup bertolak lewat ke kenduri anak saudaranya di Johor Bharu kerana mahu menunaikan tanggungjawab mengundi wakil rakyat baharu.

Katanya, dia datang bersama anak, Hishamudin, 50, dan adik, Rabeah, 63, seawal 7.30 pagi untuk menjadi pengundi pertama.

"Teruja juga jadi orang pertama mengundi dan saya memang beritahu sebelum ke kenduri mesti pergi mengundi dulu.

"Pergi kenduri lambat sikit pun tak mengapa, keluarga di sana faham dan boleh tunggu. Lagipun mengundi sekejap sahaja sebab itu saya datang ke pusat mengundi awal pagi," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mengundi dalam suasana normal baharu bukan sesuatu yang jangal baginya kerana sudah biasa dengan situasi itu susulan pandemik Covid-19.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam kebiasaan baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 9:53am
d