mutakhir

Tak serik-serik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT premis yang menawarkan khidmat urut, pelacuran dan karaoke dikenakan tindakan penutupan serta-merta kerana beroperasi tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Satu daripada premis berkenaan pernah dikenakan tindakan penutupan sebelum ini tetapi membuka semula premis tanpa kebenaran.

DBKL dalam kenyataan di Facebooknya berkata, pemeriksaan dilakukan di sekitar Wangsa Maju membabitkan tiga rumah urut dan sebuah pusat hiburan keluarga.

Menurutnya, operasi tindakan khas dengan kekuatan 18 anggota itu bermula 9 malam tadi sehingga 3 pagi ini.

"Hasil serbuan mendapati sebuah premis urut di Plaza Prima Setapak yang pernah ditutup oleh DBKL sebelum ini didapati membuka semula premis tanpa kebenaran.

"Susulan itu, premis berkenaan dikenakan tindakan penutupan serta-merta buat kali kedua mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, sebuah premis urut di Wisma Setapak dan premis di Jalan Genting Klang yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran turut dikenakan tindakan sama.

"DBKL merampas pelbagai peralatan seperti alat pembesar suara, perakam kamera litar tertutup (CCTV), kad akses pintu masuk dan kondom," katanya.

Selain itu, katanya, sebuah pusat hiburan keluarga beroperasi di Wisma Setapak yang menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dikenakan tindakan sita.

Premis berkenaan diberikan notis mengikut Seksyen 4(1)(d) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 10:41am
d