mutakhir

Pengantin pun tunai tanggungjawab

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

"KALAU diikutkan waktu mengundi saya antara 2.30 petang hingga 4.30 petang, tetapi saya cuba nasib dan bersyukur petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benarkan untuk membuang undi awal."

Begitu kata pengantin baharu, Nur Safiqah Abdullah, 25, yang mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Sekolah Kebangsaan (SK) Besout 5, Slim River, 8.30 pagi tadi.

Nur Safiqah berkata, dia bersama suami, Mohd Zulfahmie Azenal, 28, melangsungkan pernikahan di Pejabat Agama Islam Tapah, semalam dan majlis persandingan mereka berlangsung, hari ini.

"Saya tidak mahu menganggu waktu bersolek kerana jurumekap juga mengundi pada waktu pagi, jadi lebih mudah jika saya juga mengundi pada waktu yang sama.

"Lagipun petang agak sibuk, jadi saya pergi ke pusat pengundian bersama dua rakan dan terus tanya kepada petugas jika boleh terus mengundi," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Besout 4, Slim River.

Nur Safiqah yang memakai persalinan berwarna peach itu berkata, walaupun sibuk dengan majlis perkahwinan, namun dia tetap mahu menjalankan tanggungawab mengundi wakil rakyat baharu.

Katanya, bapanya, Abdullah Zaini, 70, bersama ibu, Nabsiah Yusof, 63, dan abang, Badrolsham, 40, juga sudah selesai mengundi.

"Ini kali kedua saya mengundi dan walaupun sibuk kita perlu pergi mengundi dan boleh merancang waktu keluar mengundi.

"Walaupun tidak memakai baju pengantin dan ditemani suami ketika membuang undi, namun ia tetap menjadi kenangan manis buat saya," katanya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 2:50pm
    d