mutakhir

Tuntutan Sabah: Kerajaan tidak tunduk

Oleh Izwan Abdullah

KERAJAAN tidak akan tunduk terhadap sebarang tuntutan untuk mengeluarkan Sabah dari Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pusat tidak berkompromi dalam soal membabitkan kedaulatan negeri itu.

Menurutnya, kerajaan tidak akan membiarkan sebarang tuntutan termasuk yang terbaru membabitkan tindakan memasukkan peta Sabah dalam pasport Filipina.

"Soal kedaulatan Sabah tiada kompromi. Baru-baru ini, ada kenyataan daripada pihak Filipina bahawa peta baru dalam pasportnya letak peta Sabah walaupun belum selesai dalam Senat.

"Saya tak nak cakap panjang, masukkan peta Sabah atas pasport, nak bawa tribunal...saya tegaskan di sini, kita tidak akan tunduk kepada tuntutan sebegini.

"Sabah kekal dalam Malaysia, ia sebahagian Malaysia. Jangan ada usaha tarik Sabah keluar daripada Malaysia dan jangan ada usaha orang lain tuntut Sabah untuk jadi sebahagian wilayah mereka," katanya ketika majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Kota Kinabalu hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan membiarkan isu tuntutan terhadap Sabah berlarutan, sebaliknya usaha akan terus diambil bagi mempertahankan kedaulatan negeri itu.

"Kita akan pertahan Sabah sehingga ke akhirnya, tiada kompromi.

"Sementara itu, jaga juga sempadan Sabah, jangan ada pencerobohan. Kita tidak akan biarkan perkara ini terus berlaku," katanya.

Sebelum ini, isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul semula apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

Turut tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 4:41pm
d