mutakhir

Kantoi ditahan polis kali kedua bawa daun ketum

Oleh Zuliaty Zulkiffli

CUBAAN seorang lelaki buat kali kedua membawa daun ketum ke Padang Besar, Perlis gagal apabila kegiatannya berjaya dikesan polis.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Unit Peronda Polis (MPV) dan dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di tepi jalan Kampung Tanah Merah, Padang Terap, 12 tengah hari, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan pikap jenis Hyundai yang dipandu lelaki itu menemui bungkusan plastik hitam mencurigakan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bonet belakang.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan hitam itu disyaki mengandungi daun ketum yang keseluruhannya dianggarkan 600 kilogram.

"Berikutan itu suspek yang sudah berkahwin dan bekerja sendiri itu ditahan untuk membantu siasatan.

"Suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut selama empat hari sejak 27 Ogos lalu hingga hari ini," katanya.

Mulkiaman berkata, berdasarkan pemeriksaan lanjut, keseluruhan plastik hitam yang dirampas adalah sebanyak 60 bungkus yang didalamnya mengandungi gulungan plastik lut sinar yang diikat dengan getah.

Beliau berkata, setiap bungkusan plastik lut sinar mengandungi 10 kilogram daun ketum.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM6,000. Hasil siasatan, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dari kebun kepunyaannya sendiri yang ditanam di Kampung Tanah Merah," katanya.

Menurutnya, suspek juga bertindak sebagai peraih daun ketum dengan membeli bekalan dari penanam ketum di sekitar kampung di Pedu, Kuala Nerang dan penduduk kampung di sekitar atau berhampiran dengan kampung itu yang kebanyakannya menanam tumbuhan ketum di kebun masing-masing.

Katanya, suspek membeli daun ketum yang siap dibalut plastik dengan harga RM6 setiap kilogram.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman drngan denda sehingga RM10,000 atau dipenjara empat tahun.

"Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku melakukan kegiatan itu dengan menghantar daun ketum ke Padang Besar kali kedua namun tidak pernah ditahan sebelum ini," katanya.

Mulkiaman berkata, suspek bertindak menghantar sendiri bekalan itu ke sana (Padang Besar).

Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada daun ketum itu akan dihantar ke Thailand atau sebaliknya.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia bebas mengambil dadah," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 12:30pm
d