mutakhir

Jamaluddin bakal diiktiraf Guinness World Records

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PENERJUN udara paling tua negara, Jamaluddin Ismail antara 128 penerjun yang menyertai program Merdeka Jump 2020 di Lapangan Terbang atau Aerodrom Tekah di Taiping, hari ini sempena Hari Kebangsaan ke-63 dan penghargaan untuk petugas barisan hadapan.

Jamaluddin, 66, yang memegang rekod The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi sukan ekstrem iaitu terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth) juga bakal diiktiraf Guinness World Records bagi kategori sama.

"Jika tiada aral melintang, Insya-Allah saya akan ke Dubai pada Januari tahun depan (2021) untuk menerima anugerah penerjun BASE tertua dunia," katanya yang ditemui hari ini.

Menurut datuk kepada empat cucu itu, beliau sudah melakukan lebih 3,000 terjunan sejak mula menceburkan diri pada 1981, selain ketika berkhidmat sebagai anggota pasukan elit Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam pada itu, Pengarah Program Merdeka Jump 2020 yang juga Presiden AFJets Skydive Club, Amrul Nizar Anuar berkata, program tiga hari yang bermula semalam dicadang untuk dimuatkan dalam MBOR sebagai terjunan bebas orang awam paling ramai dalam satu acara.

Katanya, 64 orang daripada peserta adalah penerjun kali pertama, manakala selebihnya penerjun profesional.

"Program ini bertemakan 'Terima Kasih Para Barisan Hadapan' sebagai penghargaan kepada 'frontliners' yang mana kebanyakan peserta juga dalam kalangan anggota polis, bomba, ATM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan lain-lain.

"Bagi penerjun baharu, ketinggian terjunan adalah pada paras 4,000 kaki (1,219 meter), manakala 8,000 (2,438 meter) sehingga 10,000 kaki (3,048 meter) adalah ketinggian bagi penerjun profesional.

"Kita mahu jadikan program ini sebagai sambutan yang luar biasa apabila usaha menghargai 'frontliners' dirakam bersama dengan sambutan kemerdekaan serta mahu dicatatkan dalam MBOR," katanya.

Turut hadir menyaksikan terjunan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komumikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR, Edwin Yeoh.

Setakat hari ini, 94 peserta sudah melakukan terjunan dan memerlukan sekurang-kurangnya 121 penerjun sebelum diiktiraf MBOR.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 6:32pm
d