mutakhir

Penjawat awam sambut baik sistem e-kerajaan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar penjawat awam tidak perlu bimbang mengenai sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan).

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya menyambut baik langkah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melaksanakan e-kerajaan dalam perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam, pelaksanaan e-kerajaan ini melegakan semua 1.6 juta kakitangan dalam perkhidmatan awam.

"Ia adalah langkah tepat dan sesuai pada masanya bagi memastikan negara terus bergerak ke hadapan selepas penularan wabak Covid-19.

"Sebagai penjawat awam, pelaksanaan e-kerajaan ini melegakan semua 1.6 juta kakitangan dalam perkhidmatan awam.

"Pada pandangan Cuepacs, langkah diumumkan Perdana Menteri ini hanya bertujuan untuk menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia ketika ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs percaya kecanggihan teknologi maklumat mampu menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam menjadi lebih cekap, sekali gus memacu kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata, jaminan Perdana Menteri untuk mengekalkan jumlah 1.6 juta penjawat awam sedia ada turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa saiz perkhidmatan awam negara ketika ini terlalu ramai.

"Jumlah ini sebenarnya masih tidak mencukupi walaupun sistem e-kerajaan diperkenalkan kelak.

"E-kerajaan hanyalah kecanggihan teknologi, ia tetap tidak akan dapat berfungsi dengan baik bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa penjawat awam yang menjadi tunjang kepada pentadbiran kerajaan.

"Cuepacs berharap semua penjawat awam tidak membuat sebarang andaian negatif bahawa pelaksanaan e-kerajaan bertujuan untuk mengurangkan jumlah kakitangan dalam perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata, penjawat awam tidak perlu bimbang kerana e-kerajaan tidak akan menggantikan tugas mereka berikutan ia dicipta bertujuan menjadikan kerja dilakukan ketika ini lebih mudah dilaksanakan.

Katanya, dalam sektor tertentu pula, sentuhan atau keterbabitan secara langsung daripada penjawat awam masih diperlukan rakyat.

"Sistem ini tidak akan boleh menggantikan seorang guru daripada mengajar anak muridnya, ia tidak boleh menjaga keselamatan rakyat seperti dilakukan anggota keselamatan kita.

"Tetapi sistem e-kerajaan boleh memudahkan urusan kerja pengkeranian terpaksa dilakukan guru, polis, tentera, jururawat dan doktor," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2020 @ 7:40pm
d