mutakhir

Aksi 'test power' jerat diri

Oleh Siti Rohana Idris

LIMA pemandu kereta ditahan selepas dipercayai berlumba dengan melakukan aksi zig-zag dalam operasi Ambang Merdeka di Lundang, Kota Bharu, awal pagi tadi.

Dalam operasi 2.30 pagi, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 24 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, anggota polis terlihat lima kereta dipandu secara melulu dan merbahaya sambil membunyikan ekzos dengan kuat.

"Lima kereta itu dipandu laju secara zig-zag dengan mencelah antara kenderaan lain sebelum membuat pusingan U di antara lampu isyarat Lundang dan Taman Maju.

"Semua pemandu terbabit meneruskan aksi berkenaan secara berulang-alik kemudian ditahan di Lundang selepas mereka memberhentikan kereta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis Benzodiazepine.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, tiga penunggang motosikal yang terdiri remaja bawah umur ditahan kerana melakukan aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan, awal pagi tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka berusia 16, 17 serta 18 tahun ditahan pada 2 dan 3 pagi di lokasi berasingan.

"Tangkapan pertama membabitkan dua remaja di Bulatan Chempaka, Kota Bharu apabila menunggang motosikal sambil melakukan aksi menundukkan kepala dan bersaing antara satu sama lain.

"Mereka juga mencelah antara kenderaan lain di mana aksi berkenaan amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Tangkapan kedua pula membabitkan remaja berusia 16 tahun di Jalan Sultan Yahya Petra yang melakukan 'wheelie' dan saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya.

Katanya, sebanyak 109 kenderaan membabitkan 114 individu diperiksa dan sebanyak 112 saman dikeluarkan.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 3:58pm
d