mutakhir

Ibu bapa 'pergi' akibat kanser

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

EMPAT beradik terpaksa menjalani kehidupan sebagai yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat kanser dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Nur Ifti Insyirah Mohd Nor Hilmi, 14, Nur Alia, 10, dan Nur Ariana, 6, terpaksa menumpang kasih dengan datuk dan nenek mereka di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan, manakala Nur Khalishah, 4, pula dijaga keluarga arwah ibunya di Kuala Selangor.

Lebih menyedihkan, Nur Ifti Insyirah adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah percakapan terbatas dan hanya boleh mengesot untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Datuk kepada empat beradik itu, Md Hamin Taha, 71, berkata, arwah anaknya, Mohd Nor Hilmi, 42 dan isteri, Noor Azlina Mat Isa, 38, dikesan menghidap kanser hati dan kanser payudara tahap akhir sebelum masing-masing meninggal dunia pada 19 Ogos dan 25 April lalu.

"Anak saya dan isterinya, masing-masing menghidap kanser dan tidak berdaya bekerja menyara empat anak mereka disebabkan masalah kesihatan sebelum meninggal dunia dalam tempoh beberapa bulan.

"Sebelum ini, mereka enam beranak menetap di Kuala Selangor, arwah anak dulu bekerja sebagai medical assistant (pembantu perubatan) di Hospital Tanjong Karang (HTK), manakala isteri bekerja sebagai guru sekolah rendah di Kuala Selangor," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar diketuai Pengerusinya, Ahmad Zhafri Md Noor di kediamannya di Sekinchan, hari ini.

Md Hamin yang mengalami masalah urat mata rosak sejak beberapa tahun lalu berkata, selepas Noor Azlina meninggal dunia pada 25 April lalu, Mohd Nor Hilmi mengambil keputusan membawa tiga anaknya pulang ke kampung beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

"Seingat saya, hampir empat tahun arwah mempunyai sakit dalaman. Saya pun tak tahu apa penyakitnya sebab arwah sangat berahsia.

"Malah, sebelum meninggal dunia, arwah sempat mengupah orang membina bilik untuk dirinya dan anak. Dia sempat duduk di bilik itu kira-kira sebulan sebelum pergi buat selamanya," katanya.

Beliau berkata, arwah turut menitipkan pesanan kepada dia dan isteri, Martini Saleh, 66 agar menjaga anaknya dengan baik.

"Buat masa sekarang, tiga beradik ini berada di bawah jagaan saya dan isteri manakala seorang lagi dijaga oleh keluarga sebelah sana (Kuala Selangor).

"Bagaimanapun, disebabkan saya tidak mempunyai pendapatan tetap, jadi ia bukan mudah untuk menyara mereka (tiga beradik) ini.

"Ambil contoh, anak arwah yang OKU (Nur Ifti Insyirah) perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa yang mana kosnya sebanyak RM 120 untuk sebulan," katanya.

Katanya, dia dan Martini berdoa agar diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga dan mengurus cucu mereka yang telah bergelar yatim piatu.

"Harapan kami berdua semoga dikuatkan iman dan kesihatan dalam menjaga mereka yang satu hari nanti akan menjadi orang yang faham erti hidup dan agama.

"Selagi nyawa dikandung badan, kami akan jaga mereka dan tidak akan sesekali memisahkan mereka," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu anak yatim piatu ini boleh berbuat demikian dengan memberikan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) datuk mereka, Md Hamin Taha (102329866033523).

Sementara itu, Ahmad Zhafri berkata, pihaknya akan sentiasa mengikuti perkembangan keluarga itu dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini, kami ada memberi bantuan katil hospital kepada arwah Mohd Nor Hilmi ketika dia sakit sehinggalah dia meninggal dunia.

"Kita harap agensi kerajaan terutama wakil rakyat dapat turun membantu keluarga ini dengan bantuan yang dapat meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 5:41pm
d