mutakhir

Lihat rakan diseksa minum sabun dan dipijak

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

BERBASIKAL dari Sabak Bernam, Selangor ke Hutan Melintang, Perak sebelum menaiki bas ke Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur semata-mata untuk meraikan tarikh keramat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Itu memori masih segar dalam ingatan lelaki warga emas, Mat Jaafar, 87, yang menetap di Tebuk Haji Arshad, Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor.

Bapa kepada 11 anak berusia 39 hingga 64 tahun itu berkata, dia yang ketika itu berusia 27 tahun pergi ke ibu kota bersama kira-kira 20 rakannya untuk meraikan detik bersejarah itu.

"Saya dan rakan-rakan mengumpul duit untuk pergi ke sana ( Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru ). Apabila ia (duit) mencukupi, kami berbasikal dari sini (Sabak Bernam) ke Hutan Melintang dan kemudian menaiki bas.

"Tak dapat nak digambarkan perasaan semasa dalam perjalanan ke sana. Gembira, berdebar, semuanya ada.

"Apabila tiba di sana, ribuan orang memenuhi kawasan Kelab Sultan Sulaiman dan suasananya sangat meriah. Malah, cuaca waktu itu hujan tetapi hadirin tidak berganjak dan tetap berada di situ sehingga selesai," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail tadi.

Dalam pada itu dia melahirkan rasa kagum terhadap pengorbanan pasukan keselamatan negara yang membebaskan negara dari belenggu penjajah serta komunis.

"Kekejaman tentera Jepun dan komunis tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Peritnya, Allah SWT sahaja yang tahu.

"Saya menjadi saksi rakan sekampung diseksa dan dipaksa minum air sabun sebelum dipijak. Itu belum lagi ditampar tentera Jepun kerana tidak tunduk hormat kepada mereka.

"Tambahan pula sumber beras sukar didapati ketika itu. Kalau ada pun, dapatlah merasa sebulan sekali. Hanya ubi kayu campur kelapa parut dan ikan yang ditangkap di parit berhampiran menjadi makanan kami (penduduk kampung)," katanya yang mempunyai 40 cucu dan 18 cicit.

Mat berkata, dia turut menegur sikap generasi zaman kini yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dan bersikap sambil lewa meraikan Hari Kemerdekaan.

"Kalau dilihat zaman dulu dan zaman sekarang meraikan Hari Kemerdekaan, bezanya jauh sekali. Orang dulu, semangatnya berkobar-kobar kerana mereka tahu erti kepayahan yang dilalui sebelum merdeka.

"Nasihat saya, hargailah keamanan yang ada sekarang ini. Jangan sampai peristiwa 13 Mei berulang kembali gara-gara sikap sambil lewa dan tidak menghayati makna kemerdekaan sebenar," katanya.

Sementara itu, Rizam berkata, Mat dikatakan individu tertua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar yang masih sihat dan mempunyai pengalaman menempuh zaman sebelum kemerdekaan.

"Hari ini (semalam) saya melakukan lawatan di rumah beliau yang bertujuan memperingati individu yang memperjuangkan kemerdekaan dan menjadi renungan buat generasi masa kini," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 5:44pm
d