mutakhir

Covid-19: 1 Kluster baharu dikesan, 4 positif

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kluster baharu yang terpencil dikesan iaitu Kluster Bunga.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu membabitkan kakitangan yang bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Kapal ini mempunyai sejarah perjalanan dari Singapura dan seramai 34 orang krew yang bertugas sudah disaring pada 28 Ogos lalu bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal.

"Daripada jumlah itu, empat kes dikesan positif Covid-19, enam individu adalah negatif dan 24 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 kluster itu membabitkan dua orang warganegara Malaysia dan dua orang bukan warganegara.

"Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

"Selepas dikesan positif mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia adalah kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal," katanya.

Menurutnya, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal berkenaan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 5:52pm
    d