mutakhir

Hilang ibu bapa akibat kanser, 4 beradik yatim piatu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PENYAKIT kanser dihidapi kedua ibu bapa akhirnya meragut kebahagiaan empat beradik yang kini bergelar yatim piatu.

Nur Ariana, 6, Nur Alia, 10, dan Nur Ifti Insyirah Mohd Nor Hilmi, 14, terpaksa menumpang kasih pada datuk dan nenek mereka yang sudah uzur di Lorong Tun Fatimah, Kampung Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.

Manakala adik bongsu, Nur Khalishah, 4, dijaga keluarga arwah ibunya di Kuala Selangor.

Lebih menyedihkan, Nur Ifti Insyirah berstatus orang kurang upaya (OKU) yang mana percakapannya terbatas dan hanya boleh mengesot untuk bergerak.

Datuk mereka, Md Hamin Taha, 71, berkata, arwah anaknya, Mohd Nor Hilmi, 42, dan isteri, Noor Azlina Mat Isa, 38, dikesan menghidap kanser hati dan kanser payu dara tahap akhir sebelum masing-masing meninggal dunia pada 25 April dan 19 Ogos lalu.

"Anak saya dan isterinya masing-masing menghidap kanser dan tidak berdaya bekerja menyara empat anak mereka sebelum meninggal dunia dalam tempoh beberapa bulan.

"Sebelum ini mereka enam beranak menetap di Kuala Selangor di mana arwah anak bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Tanjong Karang (HTK), manakala isteri bekerja sebagai guru sekolah rendah di Kuala Selangor," katanya ketika ditemui dalam lawatan Persatuan Peduli Rakyat Sungai Besar diketuai Pengerusinya, Ahmad Zhafri Md Noor, hari ini.

Md Hamin yang mempunyai masalah penglihatan akibat urat mata rosak sejak beberapa tahun lalu berkata, arwah Mohd Nor Hilmi mengambil keputusan membawa tiga anaknya pulang ke kampung selepas kematian isteri 25 April lalu sebelum dia turut meninggal dunia.

"Seingat saya, hampir empat tahun arwah mempunyai sakit dalaman. Saya pun tak tahu apa penyakitnya sebab arwah sangat berahsia.

"Malah, sebelum meninggal dunia, arwah sempat mengupah orang membina bilik untuk dirinya dan anak-anak. Dia sempat duduk di bilik itu kira-kira sebulan sebelum pergi buat selamanya," katanya.

Katanya, arwah turut menitipkan pesanan kepada dia dan isteri, Martini Saleh, 66, supaya menjaga anak-anaknya dengan baik.

"Buat masa sekarang, tiga beradik ini berada di bawah jagaan saya dan isteri manakala seorang lagi dijaga oleh keluarga sebelah sana (Kuala Selangor).

"Bagaimanapun, disebabkan saya tidak mempunyai pendapatan tetap, jadi ia bukan mudah untuk menyara mereka (tiga beradik) ini.

"Ambil contoh, anak arwah yang OKU (Nur Ifti Insyirah) perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa di mana kosnya sebanyak RM120 untuk sebulan," katanya.

Katanya, dia dan Martini berdoa diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga dan mengurus cucu mereka yang bergelar yatim piatu.

"Selagi nyawa dikandung badan, kami akan jaga mereka dan tidak akan sesekali memisahkan mereka," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menyalurkan membantu kepada anak yatim piatu terbabit boleh memberikan sumbangan menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1012329866033523 atas nama Md Hamin Taha.

Sementara itu, Ahmad Zhafri berkata, pihaknya akan sentiasa mengikuti perkembangan keluarga itu dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini, kami ada memberi bantuan katil hospital kepada arwah Mohd Nor Hilmi ketika dia sakit sehinggalah dia meninggal dunia.

"Kami harap agensi kerajaan terutama wakil rakyat dapat turun membantu keluarga ini dengan bantuan yang dapat meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 6:43pm
d