mutakhir

Bekas Speaker DUN Perak meninggal dunia

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

BEKAS Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Umar Ismail meninggal dunia kerana sakit tua hari ini.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 87 tahun di kediamannya di hadapan Masjid Jamek, Lenggong pada 5.50 pagi.

Anaknya, Zainal, 55, berkata, ayahnya sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini dan kesihatannya semakin merosot selepas kematian ibunya, Jawahir Yaakob, tahun lalu.

"Ibu meninggal dunia selepas Aidilfitri tahun lalu dan sejak itu kesihatan arwah semakin merosot hingga dimasukkan ke hospital.

"Jenazahnya selamat dikebumikan di sebelah pusara ibu di Tanah Perkuburan Islam di pekarangan Masjid Jamek pada 2.20 petang," katanya.

Lebih 500 ahli keluarga dan kenalan hadir ke majlis pengebumian itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria selain bekas Exco Perak Datuk Jamal Nasir Rasdi.

Menurut Jamal Nasir, arwah yang menjawat jawatan Speaker DUN Perak pada 1988 hingga 1990, adalah seorang guru yang menceburi bidang politik.

"Beliau mula bertanding di Parlimen Padang Rengas pada 1978 sebelum kerusi DUN Lenggong pada 1982 dan mempertahankan kerusi itu sehingga dilantik Speaker," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 6:58pm
d