mutakhir

Tayar pikap bawa 500 kg daun ketum ditembak

Oleh Siti Rohana Idris

CUBAAN penyeludup membawa daun ketum seberat 500 kilogram melarikan diri gagal apabila tayar belakang kiri pikap dinaiki pancit selepas ditembak di Jalan Kampung Padang Layang, Kota Bharu, semalam.

Kejadian berlaku pada 6.45 pagi ketika anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan Op Benteng Covid sebelum melihat Mitsubishi Triton itu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, anggotanya kemudian bertindak mengekori kenderaan itu sehingga ke Kampung Pendek.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju secara berbahaya.

"Anggota kami terus mengejar pikap terbabit tiba-tiba pemandu pacuan empat roda itu bertindak menghimpit kenderaan kami.

"Mengambil kira faktor keselamatan, anggota kami melepaskan satu das tembakan pada tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhammad berkata, sejurus tembakan dilepaskan, lelaki terbabit terpaksa memberhentikan kenderaannya di bahu jalan di Jalan Kampung Padang Layang.

Menurutnya, suspek berusia 30-an berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

Katanya, pemeriksaan ke atas pikap itu menemui sejumlah plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum seberat 500 kilogram dianggarkan bernilai RM15,000.

"Hasil soal siasat mendapati daun ketum itu dibawa masuk dari Kedah untuk pasaran tempatan termasuk negara jiran.

"Saringan ujian air kencing ke atas pemandu itu didapati positif methampethamine," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 7:34pm
d