mutakhir

Ayam sejuk beku RM40,000 dirampas

Oleh Syaherah Mustafa

BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas 90 kotak ayam sejuk beku bernilai hampir RM40,000 dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata, dalam kejadian 11 pagi, anggotanya terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari perahu ke dalam Proton Wira di pangkalan haram Rantau Panjang.

"Kesemua lelaki terbabit bertindak menaiki perahu untuk menyeberangi Sungai Golok bagi melarikan diri ke negara jiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Anggota membuat pemeriksaan di dalam kereta itu dan menemui 30 kotak berisi ayam sejuk beku dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas sebanyak 60 kotak ayam sejuk beku di dalam sebuah Perodua Myvi di Kampung Banggol Chicha, Rantau Panjang pada 6 petang semalam.

Katanya, anggotanya yang membuat rondaan terserempak dengan kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya.

"Pemandu lelaki bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas memberhentikan kenderaan.

"Kesemua ayam sejuk beku yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 8:00pm
d